Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan transformasi di kawasan bandar bagi meningkatkan penyertaan rakyat (public participation) dan menangani isu-isu perbandaran untuk kesejahteraan penduduk bandar. Ianya amat diperlukan susulan proses pemesatan bandar yang mana sehingga kini, lebih 70% penduduk di negara ini tinggal di kawasan bandar. JPP merupakan mekanisma bagi penduduk menyalurkan aduan dan pandangan kepada pihak berkuasa.
"Tiada isu JPP mahu mengambil alih tugas ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana JPP tiada sebarang kuasa untuk melakukan sebarang dakwaan atau mengenakan bayaran atau fi seperti PBT," jelas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan. Kriteria-kriteria yang diguna pakai untuk melantik anggota-anggota JPP adalah seperti berikut:
i) penduduk yang bermastautin di dalam zon tersebut;
ii) warganegara Malaysia yang berumur di antara 21 hingga 65 tahun;
iii) kelayakan akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya;
iv) keutamaan diberikan kepada individu yang bergiat aktif dalam pertubuhan, persatuan atau kerja-kerja amal;
v) tidak diisytiharkan muflis;
vi) tidak mempunyai sebarang rekod jenayah;
vii) bukan di kalangan Ahli Majlis yang sedang berkhidmat;
viii) pemilihan calon JPP dari kalangan penjawat awam dan golongan profesional adalah wajar digalakkan untuk membuka minda dan melaksanakan transformasi pengurusan bandar; dan
ix) lain-lain syarat yang ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Bagi jawatan Pengerusi JPP, pemilihan hendaklah dari kalangan opinion leaders yang berpengaruh serta bersesuaian dengan taraf sosial dan memahami pemikiran masyarakat setempat. Pengerusi JPP merupakan individu yang dapat menyumbang idea dan membuat keputusan serta menjadi role model kepada penduduk setempat.
Bagi maksud penyelarasan JPP di setiap PBT, Kerajaan telah meluluskan 184 perjawatan Unit Kesejahteraan Bandar yang terdiri daripada Gred M44, N32, N27 dan N17 yang akan ditempatkan di Pihak Berkuasa Tempatan terpilih sebagai sekretariat JPP di peringkat negeri.
Hal ini dihuraikan sendiri oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan semasa menjawab soalan Ahli Parlimen (MP) Ipoh Timor yang meminta penjelasan keperluan penubuhan 148 JPP di peringkat bandar dengan peruntukan sebanyak RM63 juta setahun.
MP Ipoh Timor dilihat kerap bangun mencelah dan membuat pelbagai provokasi terhadap Menteri namun keadaan berjaya dikawal Datuk Rahman Dahlan dengan memberikan jawapan penyudah yang membuatkan MP Ipoh Timor terdiam dan terus duduk. "JPP tak terdiri daripada penjenayah atau bekas penjenayah seperti PPS, itu janji saya," jawab Menteri menamatkan pencerahan berhubung isu JPP pagi ini.
Jawatankuasa Perwakilan Penduduk beroperasi Mei ini –
Muhyiddin
PUTRAJAYA, 5 Mac: Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mula beroperasi Mei ini sebagai satu inisiatif transformasi pengurusan bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata Majlis Negara Kerajaan Tempatan bersetuju menubuhkan JPP di seluruh negara kecuali tiga PBT di Wilayah Persekutuan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan kerana struktur yang serupa dikenali Majlis Perwakilan Kesejahteraan Bandar telah ditubuhkan di tiga PBT itu.
“JPP ini dijangka mula dilantik pada Mei tahun ini. Ia akan dianggotai 10 orang iaitu seorang pengerusi, setiausaha dan lapan ahli jawatankuasa. Mereka akan dibayar elaun bulanan mengikut penarafan PBT.
“Peruntukan RM63 juta telah disediakan untuk pembayaran elaun ini,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Negara Kerajaan Tempatan Ke-67 di Putrajaya, Selasa.
Muhyiddin berkata anggota jawatankuasa itu akan mengetuai biro-biro seperti Biro Kemajuan Wanita, Biro Belia dan Sukan, Biro Ekonomi dan Kewangan, Biro Sosial dan ICT, Biro Aduan dan Kebajikan, Biro Keselamatan, Pendidikan, Modal Insan dan Kerohanian serta Biro Kebersihan, Kesihatan dan Alam Sekitar.
Muhyiddin berkata pengerusi JPP bagi majlis perbandaran dan dewan bandaraya akan dibayar elaun bulanan RM800 manakala bagi pengerusi majlis daerah ialah RM500 dan setiausaha pula akan menerima elaun RM400 (majlis perbandaran dan dewan bandaraya) dan RM250 (majlis daerah).
Selain itu, beliau berkata semua anggota JPP akan menerima elaun mesyuarat RM75 setiap kali bermesyuarat.
“Mereka akan dilantik untuk menjalankan tugas selama dua tahun dan maksimum dua penggal,” katanya.
Muhyiddin berkata JPP ditubuhkan untuk menggalakkan penyertaan penduduk dalam program dan pembangunan kawasan setempat, membantu menangani kesejahteraan bandar dan mewujudkan hubungan baik kejiranan setempat.
Beliau bekata JPP akan berfungsi untuk menyampaikan maklumat kepada penduduk setempat berhubung dasar, undang-undang, inisiatif, program dan aktiviti pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, beliau berkata ia akan mewujudkan perpaduan kalangan penduduk bandar dengan mengadakan aktiviti kemasyarakatan, bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengawasi keselamatan kawasan kejiranan dan membantu menangani kebersihan, kesihatan dan alam sekitar.
“JPP juga akan membantu merancang, melaksana dan memantau projek-projek infrastruktur dan kemudahan awam dan sosio ekonomi serta menyalurkan maklum balas dan aduan kepada peringkat akar umbi,” katanya. – BERNAMA